Saturday, May 23, 2009

sumber inspirasi

Berbakti kepada masyarakat

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my


SENTIASA memberi tunjuk ajar kepada kakitangan yang bersama-sama menjayakan Aniza Medical Center.

Penubuhan Aniza Medical Centre bukti kecekalan doktor muda menawarkan khidmat

ORANGNYA kecil molek. Tutur katanya juga lemah lembut, tetapi terselit nada tegas membayangkan semangat juang yang tinggi tertanam jitu di dalam jiwanya terutama apabila membabitkan pesakit yang mengunjungi pusat rawatan dikendalikan beliau.

Sebagai pengarah perubatan Aniza Medical Center, Dr Aniza bertekad menjadikan pusat rawatan berkenaan sebagai satu hab kesihatan yang berupaya memberikan rawatan terbaik kepada setiap pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan atau pemeriksaan kesihatan.


Ibu kepada tiga cahaya mata lelaki, Muhammad Syameel, 9, Daniel Hasyimi, 7, dan Adam Syazwan, 5, itu menyatakan beliau tidak menyangka daripada mengendalikan klinik kesihatan kecil, beliau kemudian berupaya memiliki pusat kesihatan dengan jenama sendiri, iaitu Aniza Medical Center yang meletakkan beliau pada kedudukan hari ini.


Sejurus tamat pengajian bidang perubatan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Dr Aniza bertugas di klinik kerajaan dan beberapa kali bertukar lokasi kerja bergantung kepada pos yang diperuntukkan kepadanya oleh pihak majikan. Pada 1999, beliau bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya sebagai Pegawai Perubatan Siswazah dan kemudian di Hospital Kuala Kubu sebelum ditukarkan ke Klinik Kesihatan Serendah.

“Semuanya bermula pada 2004. Ketika itu saya cuti bersalin. Suami (Ahmad Hisham Hashim), memberikan kata perangsang supaya saya membuat pilihan, sama ada meneruskan kerjaya di klinik kerajaan atau mencuba sesuatu yang baru dan mencabar dengan membuka klinik sendiri,” katanya ketika ditemui di pusat rawatan berkenaan di Bukit Sentosa, Rawang, baru-baru ini.

PESAKIT adalah keutamaan di Pusat Perubatan Aniza.

Beliau menyahut cabaran suami dan membuka Klinik Aniza pada Disember 2004 yang beroperasi di Bukit Sentosa sehinggalah pada Mac lalu, Klinik Aniza bertukar status kepada Aniza Medical Center yang lokasi barunya tidak jauh daripada klinik yang lama.

“Saya beralih daripada klinik kepada pusat perubatan kerana bukan setakat kata-kata semangat daripada suami saja yang berlegar di minda saya, keluhan pesakit juga sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan saya untuk membuka pusat rawatan yang dikendalikan doktor wanita,” katanya.

Apabila mengingatkan keluhan pesakit wanita yang susah mencari doktor sama jantina bagi mendapatkan rawatan, Aniza terpanggil menyediakan kemudahan berkenaan yang dirasakan perlu dan wajib membantu mereka yang ingin dan sepatutnya berasa selesa apabila berhadapan doktor yang merawat mereka.

“Saya acap kali mendengar pendapat pesakit mengenai kesukaran mendapatkan rawatan daripada doktor wanita selain klinik Aniza yang dikendalikan sebelum ini agak kecil ruangnya sedangkan pesakit ramai mengunjungi klinik bagi mendapatkan rawatan.

KEGEMBIRAAN terpancar pada wajah ketika menerima anugerah Ibu Muda Bestari 2009.

“Setelah ditimbang buruk baik dan cabaran yang bakal saya hadapi, saya mengambil keputusan menubuhkan Aniza Medical Center, selain menganggap ia fardu kifayah yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Beroperasi di premis rumah kedai empat tingkat (namun hanya dua tingkat saja yang disewa Aniza Medical Center), pusat perubatan berkenaan dibuka kepada pesakit bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali Ahad, hanya dibuka pada jam 5 petang hingga 10 malam saja.

Kata Dr Aniza, cabaran memang terasa kerana ada perbezaan ketara antara mengendalikan klinik dan pusat perubatan yang lebih besar skalanya baik dari segi kawasan mahupun rawatan yang ditawarkan.

“Pusat perubatan ini menggunakan kemudahan teknologi moden sepenuhnya dan kurang menggunakan kertas. Di sini kami sudah menjalankan tanggungjawab memelihara alam semula jadi.

“Berbanding kerja makan gaji dengan kerajaan dulu, saya tidak memikirkan sangat mengenai jumlah pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan, tetapi apabila mengendalikan pusat perubatan dengan jenama sendiri, saya tidak nafikan sentiasa berharap supaya pusat perubatan ini dikunjungi orang,” katanya.

Begitu pun, Dr Aniza yang sentiasa mendapat sokongan jitu daripada 11 kaki tangan menegaskan beliau tidak mahu menjadikan Aniza Medical Center sebagai premis yang mementingkan keuntungan semata-mata kerana apa yang penting, niat asal beliau ialah berbakti kepada pesakit.

“Saya maju bersama kakitangan yang sentiasa memberikan sokongan. Suami lebih-lebih lagi, sentiasa menanamkan kata semangat kepada saya. Jadi, saya perlu memikirkan pelan yang jauh lebih baik untuk memberi khidmat kepada pesakit.

“Saya tidak mahu menjadikan Aniza Medical Center sebagai pusat perubatan semata-mata sebaliknya mahukan lebih daripada itu kerana ada ramai pesakit yang memerlukan khidmat kami,” katanya.

Beliau bercadang mewujudkan pusat jagaan harian kepada pesakit yang tidak mampu menghuni wad atau tiada pilihan seperti mendapatkan rawatan serta pada masa sama, mereka terpaksa menjaga keluarga di rumah.

“Kadangkala ada wanita yang mengalami sakit kritikal tidak mahu ke hospital kerana alasan mereka ada anak kecil yang perlu dijaga. Saya melihat situasi ini sebagai satu keadaan yang perlu ditangani dengan bijak.

“Apa yang boleh saya lakukan ialah menyediakan pusat jagaan harian supaya mereka boleh balik menjenguk anak dan tidak perlu bermalam di hospital. Bagaimanapun, ini masih dalam perancangan,” katanya.

Beliau juga berpendapat pesakit adalah sentiasa betul dan apa yang wajar dilakukan ialah memberikan sepenuh perhatian dan simpati kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

“Saya selalu menasihatkan kakitangan Aniza Medical Center supaya tidak mengeluh apabila menjalankan tugas mereka di pusat perubatan ini. Memang bekerja itu penat, tetapi pesakit berhak mendapat layanan baik selain kita sendiri memperbetulkan niat serta tugas membantu pesakit.

“Sekarang mungkin kita tidak nampak kebaikannya, tetapi kita tahu pahala menunggu untuk mereka yang berbuat kebaikan kepada sesama insan,” katanya yang cukup disenangi kebanyakan pesakit.

Melawan penyakit

Siapa sangka di sebalik kemanisan tutur kata wanita kecil molek itu, Dr Aniza adalah pesakit Tubular Carcinoma (barah payu dara kiri tahap satu) dan hingga kini masih mengambil ubatan bagi mengawal barah yang dihidapi.

“Perlu diingat doktor juga tidak terkecuali daripada sakit dan deman. Saya tidak gemar menjadikan sakit yang dialami ini sebagai cara untuk mendapatkan perhatian sebaliknya kita harus berfikiran positif.

“Sebagai doktor juga, saya harus kuat dan tabah menanganinya kerana pesakit memerlukan kekuatan daripada saya. Andai saya berada dalam keadaan lemah, bagaimana pesakit akan berasa sihat jika melihat saya,” katanya.

Pegangan Doktor Aniza adalah mudah, beliau harus menunjukkan sifat positif jika ingin melihat orang sekeliling juga positif dan beliau sendiri perlu berada dalam keadaan ceria sekiranya beliau ingin melihatnya pesakitnya tenang.

“Kita harus bermula dengan keceriaan diri sendiri, barulah orang akan berasa ceria apabila berhadapan dengan kita. Bila saya memperlihatkan saya berada dalam keadaan sihat, pesakit akan lebih bermotivasi,” katanya.

Sebagai ibu kepada tiga cahaya mata lelaki, Doktor Aniza akui agak sukar mengendalikan tugas di pusat perubatan dan urusan rumah tangga serentak, namun beliau sangat bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat memahami cita-cita beliau.

“Suami dan anak saya memahami tugas saya. Walaupun masih kecil mereka mudah dibentuk dan sudah boleh mengendalikan diri sendiri. Lazimnya saya menggalakkan mereka bangun awal pagi bagi menguruskan diri sebelum saya keluar bekerja.

“Mereka boleh memakai baju sendiri selain pandai membawa diri sekiranya saya amat sibuk dengan tugas di pusat rawatan,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Aniza ini menerima Anugerah Ibu Muda Bestari yang dianjurkan oleh majalah tempatan dan agak terkejut dengan anugerah berkenaan kerana memikirkan ada ibu lain yang lebih layak menerima gelaran berkenaan.

“Saya tidak pasti siapa yang mencalonkan saya untuk anugerah berkenaan. Mungkin pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di sini yang menghantar penyertaan. Apa-apa pun saya berterima kasih kepada penganjur kerana memilih saya sebagai pemenang.

“Saya tidak mahu diberikan rasa simpati kerana barah yang saya hadapi sebaliknya saya suka menganggap ia adalah peringatan daripada Allah supaya memanfaatkan kehidupan yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

INFO

Dr Nor Aniza Ali Shibramulisi


Jawatan: Pengasas Aniza Medical Center

Lokasi: No 43 & 45, Jalan Bunga Orkid 2B, Seksyen BS 2, Bukit Sentosa, 48300 Rawang, Selangor.

Operasi: 8 pagi hingga 10 malam kecuali Ahad bermula jam 5 petang hingga 10 malam.

Perkhidmatan yang ditawarkan: Imbasan 3D (3D Baby Scan), pemeriksaan kesihatan eksekutif, x-ray, densitometer tulang, kesihatan ibu dan kanak-kanak dan berkhatan.

Telefon: 03-60281910.

Pencapaian: Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Kesihatan Negeri Selangor 2003, Anugerah Prestasi Terbaik Runcit PUNB 2008 dan Anugerah Ibu Muda Bestari 2009.

2 comments:

Si pairidaeza said...

izzati medical center...???

insyaALLAH..caiiyuukk!!!

maZLin-HUsNA-HUSnI-maNaL said...

hehe.gud lax exm.beit rizq cun