pejam celik pejam celik kita dah masuk bulan rabiul awal.seperti mana yang kita ketahui bahawa bulan ini merupakan kelahiran junjungan besar Muhammad SAW,kekasih Allah..penutup segala nabi dan rasul.
tapi tahukah anda bahawa di bulan ini ada juga peristiwa-peristiwa lain yang berlaku.saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang artikel yang saya dapat dari iluvislam.
Pengertian
Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.
Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal
Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;
1. Kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad Rasulullah saw.
Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa Nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.
2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul.
Dibulan Rabiulawal inilah Nabi Muhammad saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi Muhammad saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
3. Hijrah
Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
4. Peperangan.
Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw.
Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah
Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar r.a di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.
7. Pembukaan Iraq
Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
8. Pembukaan Baitul Muqaddis
Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol
Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.
marilah sama-sama kita memperbanyakkan selawat di bulan maulid ini sambil menghayati kisah perjuangan rasulullah dalam mengembangkan islam.islam kan kembali bersinar jika umat islam sentiasa bersatu hati menjaga ukhuwah islamiyyah!